Teman-teman

Sunday 25 September 2011

:Kelebihan KURMA

Kurma

Kurma atau nama saintifiknya Phonex dactylifera adalah sejenis tumbuhan palma yang berbuah. Buah kurma  boleh dimakan sama ada dalam keadaan masak atau yang masih mentah. Kurma merupakan buah yang istimewa dalam Islam dan pokonya sendiri mempunyai  sejarah yang cukup unik.

Telah dipercayai bahawa ALLAH menjadikan pokok kurma daripada lebihan tanah ciptaan Nabi Adam. Pokok kurma sangat istimewa kerana ia disenyawakan oleh tangan manusia. Buahnya yang tidak berbau menyebabkan tiada haiwan yang cuba makan atau merosakkannya.

Ini adalah anugerah daripada ALLAH yang cuba memelihara kesucian buah kurma. Ia adalah makanan yang paling ideal untuk tubuh manusia kerana kurma adalah sebahagian daripada kita sendiri.  Dalam Surah An-Nahl ayat 11, ALLAH berfirman:

DIA menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan ALLAH) bagi kamu yang memikirkan.

Menurut kajian sains, kurma merupakan buah yang mana khasiat dan kandungan gulanya cepat meresap ke dalam tubuh. Apabila kurma dimakan, ia membekalkan tenaga dengan cepat ke dalam tubuh kita. Ia juga adalah makanan kesukaan Nabi Muhammad s.a.w. Sesuatu yang disukai baginda pasti tersembunyi hikmah dan rahsia yang tersendiri. Buah kurma juga menjadi hidangan harian Nabi Muhamad s.a.w.

Penyelidikan dan penemuan saintifik  yang dilakukan oleh pakar sains pemakanan dan perubatan tentang khasiat buah kurma mendapati:

i.    Buah kurma kaya dengan kalium dan dapat  mengurangkan risiko serangan angin ahmar. Makan buah kurma boleh menyebabkan denyutan jantung teratur dan darah menjadi stabil.

ii.    Buah kurma mengandungi nutrien yang seimbang. Karbohidrat dalam buah kurma membekalkan tenaga yang tinggi. Kurma adalah makanan yang paling cepat diproses sebagai bekalan tenaga.

iii.    Kandungan gula (glukosa dan fruktosa) mudah dicerna. Glukosa adalah komponen untuk keperluan tenaga tubuh manusia. Ia diperlukan oleh sel-sel otak, sel-sel saraf, sel darah merah dan sel tulang sumsum.

iv.    Fruktosa dan selulosa diperlukan untuk gerakan usus.

v.    Fosfor diperlukan untuk menghantar nutrisi ke tempurung otak.

vi.    Vitamin A, B1,dan B2 dalam kurma diperlukan  untuk asimilasi makanan dan penenang saraf.

vii.    Mineral dalam kurma diperlukan  untuk pembentukan enzim bagi proses-proses utama tubuh badan. Magnesium pula untuk melambatkan penuaan.

viii.    Kandungan serat dalam kurma adalah pencuci perut untuk mencegah sembelit dan gangguan pencernaan.

ix.    Hormon dalam kurma  boleh  mencegah pendarahan dalam rahim.

x.    Potasium, kalsium dan zat besi dalam kurma  menyihatkan sel darah merah dan mengurangkan risiko  diserang penyakit kronik seperti  kencing manis.

xi.    Kurma menyihatkan wanita hamil, memanaskan badan dan memudahkan wanita bersalin.

xii.    Kurma boleh membentuk minda kanak-kanak yang sihat, penyabar, sopan santun dan pemikiran cerdas.

xiii.    Kurma adalah makanan yang dapat membentuk insan yang berperibadi mulia.

xiv.    Kurma boleh merangsang pertambahan kandungan susu bagi ibu-ibu yang menyusukan anak kerana kandungan zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang penting membentuk susu ibu.

Dalam buku ‘Sains Moden’ menurut perspektif al-Quran dan as-Sunah ada dinyatakan kelebihan buah kurma menurut pandangan pakar perubatan. Antaranya:

i.    Kurma yang dimakan sebagai makanan harian akan merampingkan tubuh kerana kadar lemaknya rendah.

ii.    Kandungan magnesium yang tinggi dalam buah kurma adalah perisai penyakit kanser.

iii.    Buah kurma melawaskan pembuangan air kecil dan besar.

iv.    Kandungan fosfor dan kalsium dalam buah kurma baik untuk tulang, gigi dan seks.

v.    Vitamen A dalam buah kurma menajamkan penglihatan.

vi.    Buah kurma menguatkan saraf pendengaran.

vii.    Kandungan vitamin B dalam buah kurma adalah ubat penyakit hati, kulit kering, sakit gusi, bibir pecah.

viii.    Kandungan fosfor dalam kurma merupakan nutrien bagi sel-sel otak.


Tunggu apa lagi? Jom kita jadikan kurma sebagai 'snek' harian. Mudah-mudahan kita juga mampu memperolehi khasiat yang terkandung di dalamnya. Yumm YUmmY!


(sumber: Dr Yazid Abdul Manap: Menerokai Kegemilangan Saintis Islam)

Friday 23 September 2011

KemBaLI..

Pang!!

Terasa seperti ditampar. Betapa soalan yang ditanyakan oleh seorang teman benar-benar membuatkan hati saya tersentak.

APA YANG AKAN DILAKUKAN JIKA SAYA MATI ESOK??

Ya... apa yang saya perlu lakukan? Saya mula menanya 'dia'... Dia adalah sekeping hati yang perlu dijaga sentiasa agar berada dalam keadaan selamat sentiasa daripada serangan-serangan yang tidak saya izinkan. Namun, ia kelu. Bisu.

Lalu, apa yangharus saya katakan??

Benar... Tuhan akan memanggil hamba-NYA kembali pada bila-bila masa sahaja yang disukai-NYA. Semuanya sudah ditakdirkan tanpa ada kelewatan walau sesaat. Oleh itu, saya cuba mempersiapkan diri saya dengan bekalan-bekalan yang akan dibawa jika saya dipanggil kelak. Saya tidak ingin menanam badai kerana kelak saya akan menuai badai!

Namun, dalam ketika mempersiapkan diri adakalanya saya turut tersasar. Mudah-mudahan ALLAH ampuni saya. Bagaimana ya agaknya jika tiba-tiba saya dipanggil di kala dalam keadaan tidak bersedia? Di mana agaknya tempat saya kelak? Neraka atau syurga? Hanya TUHAN yang Maha Mengetahui.

Saya amat berterima kasih kepada sahabat saya yang bertanya kerana dari situ saya mula muhasabah diri yang adakalanya lalai dalam senang. Leka dalam keseronokan duniawi. Saya juga mula mencerap minda mengingati semula setiap perbuatan dan perlakuan yang pernah dilakukan dahulu. Dengan harapan dapat diperbaiki khilaf yang telah dilakukan.

Pada saya, persiapkanlah diri dengan iman dan taqwa agar saat kita ketemu dengan-NYA dalam keadaan tenang. Ambillah pengajaran daripada musibah yang diturunkan-NYA. Mungkin itu adalah peringatan ALLAH kepada kita. Dengarlah 'bisik' kan-NYA itu dengan mata hati. Usah tunggu DIA 'menjerit' barulah bergegas mahu bersiap.

Maka, sampai bila harus hanyutkan diri dalam arus nafsu yang tiada kesudahan. Sedarlah... kita hanya pengembara sementara di bumi ILAHI. Suatu saat nanti akan KEMBALI jua... 
Terima kasih sahabat saya yang bertanyakan soalan itu... mudaha-mudahan saya dan anda tidak terus terleka lagi.